Monday, May 18, 2009

DRAF UCAPAN KETUA MENTERI SABAH


UCAPAN Y.A.B DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMASA MAJLIS MAKAN MALAM PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU (PIBG) SEMPENA JUBLI PERAK 25 TAHUN SMK BEAUFORT (1984 – 2009)

DI DEWAN PA’ MUSA, BEAUFORT PADA 11 APRIL 2009

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia serta izin-Nya, kita berkesempatan untuk bersama-sama dalam majlis makan malam sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun SMK Beaufort. Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Beaufort kerana telah sudi mengundang saya untuk menyempurnakan majlis pada malam ini.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada PIBG sekolah ini kerana telah mengambil inisiatif murni dengan mengadakan majlis makan malam ini sebagai salah satu aktiviti sambutan Jubli Perak 25 Tahun SMK Beaufort (1984 – 2009). Saya difahamkan objektif program ini adalah untuk meningkatkan kerjasama dan hubungan silaturahim dalam kalangan pemimpin, ibu bapa, bekas pelajar, warga sekolah dan anggota masyarakat. Ia jelas membuktikan kesungguhan dan iltizam PIBG SMK Beaufort dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk membantu pihak sekolah melahirkan generasi pelajar yang berkualiti dari aspek akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah.

Tugas mendidik anak-anak bukanlah tanggungjawab para guru di sekolah semata-mata, tetapi ia adalah tanggungjawab kita bersama. Sememangnya diakui bahawa tugas mendidik anak-anak penuh dengan dugaan dan cabaran, terutamanya dalam era globalisasi kini.

Hari ini ramai remaja yang terjebak dengan gejala sosial yang antara lain disebabkan kegagalan kita mendidik dan memantau aktiviti harian mereka. Keadaan ini sangat merugikan kita memandangkan mereka adalah bakal pemimpin pada masa hadapan. Justeru, saya berharap PIBG SMK Beaufort akan memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pihak pengurusan sekolah demi memastikan pembangunan akademik dan sahsiah diri pelajar dapat dibentuk sebaik mungkin dan sekaligus menyumbang kepada prestasi cemerlang sekolah.

Saya difahamkan bahawa SMK Beaufort telah dipilih sebagai salah sebuah “Sekolah Impian” di Sabah. Sesungguhnya pemilihan ini bukanlah satu hadiah atau anugerah sebaliknya merupakan satu kepercayaan dan amanah daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sabah dan Kementerian Pelajaran Malaysia atas keyakinan bahawa SMK Beaufort berupaya menterjemah visi dan misi sebagai sebuah “Sekolah Impian.” Apatah lagi sekolah ini mempunyai pentadbir yang cekap dan bermotivasi serta dibarisi guru-guru berpengalaman, berkelayakan dan bersemangat tinggi serta mendapat kerjasama yang padu daripada barisan PIBGnya.

Justeru, marilah kita sama-sama membantu pihak sekolah, baik bantuan dalam bentuk kewangan, material, perkhidmatan dan sebagainya untuk merealisasikan hasrat menjadikan sekolah ini yang terbaik dalam semua aspek. Saya yakin dengan usaha yang digembleng melibatkan semua pihak, SMK Beaufort bukan sahaja akan muncul antara yang terbaik di negeri Sabah ini, malah mampu bersaing dengan sekolah-sekolah elit di seluruh negara.

Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri akan terus komited untuk membantu semua sekolah di negeri ini termasuklah SMK Beaufort bagi merealisasikan hasrat mencapai kecemerlangan dalam pendidikan. Kerajaan Negeri akan memastikan bidang pendidikan di negeri ini yang menerima peruntukan terbesar menerusi RMKe-9 terus diperkasakan khususnya di kawasan-kawasan luar bandar yang masih memerlukan perhatian secara langsung daripada kerajaan. Kerajaan Negeri juga akan memantau setiap pelaksanaan program-program pendidikan yang sedang dan akan dilaksanakan di seluruh negeri agar pelaksanaannya benar-benar dapat memenuhi aspirasi rakyat keseluruhannya.

Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada PIBG SMK Beaufort agar sentiasa bersama-sama dengan kerajaan dalam menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan pendidikan khususnya di daerah ini. Pada masa yang sama, PIBG SMK Beaufort juga hendaklah terus memupuk kerjasama yang lebih erat dalam kalangan seluruh warga SMK Beaufort, para ibu bapa dan juga masyarakat setempat demi menjamin kelangsungan kecemerlangan pendidikan di kawasan ini.

Dalam tempoh 25 tahun ini, SMK Beaufort pastinya telah melalui banyak perubahan dan perkembangan sejarahnya sejak dibuka pada tahun 1984. Sepanjang tempoh tersebut, sudah tentu ramai pelajarnya mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang. Saya berharap agar rentetan kejayaan demi kejayaan para pelajar sekolah ini akan berterusan dan mereka yang telah berjaya ini tampil semula membantu pihak sekolah dan PIBG untuk merealisasikan impian seterusnya. Inilah antara cara terbaik bagi bekas-bekas pelajar membalas jasa dan budi pihak sekolah dengan memberi kerjasama, menyumbangkan bantuan dan sokongan demi kelangsungan kecemerlangan sekolah ini.

Akhir kata, kepada seluruh warga SMK Beaufort, selamat menyambut ulang tahun yang ke-25. Semoga sambutan Jubli Perak ini akan menjadi pemangkin dan pencetus semangat untuk seluruh warga SMK Beaufort mengecapi lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan pada masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment