Saturday, August 7, 2010

PERTUKARAN GURU SESI JANUARI 2011

Pemberitahuan

Permohonan Pertukaran Guru Antara Bahagian/Negeri, Antara Daerah dan Dalam Daerah bagi Pertukaran Januari 2011 untuk guru DGA 29, DG 41, DG 32 (KUP) dan DG 44 (KUP) melalui e-GTukar akan dibuka mulai 1 HINGGA 30 SEPTEMBER 2010.

Keputusan Permohonan Pertukaran Guru Januari 2011 dijangka dikeluarkan mulai 15 NOVEMBER 2010.

Sila ambil maklum bahawa tiada peruntukan disediakan bagi tuntutan elaun pertukaran untuk sesi Januari 2011.


Sila semak dan kemaskini maklumat anda melalui guru PK1 atau guru data dengan segera sebelum 13 OGOS 2010

Laman Web e-Gtukar :

http://apps.emoe.gov.my/epgo


Tuesday, July 27, 2010

Temasya Sukan Padang dan Balapan 2010


SMK Beaufort mengadakan Temasya Sukan Padang & Balapan Kali Ke 34 pada tahun 2010. Temasya ini diadakan selama tiga hari iaitu pada 27 Julai 2010 hingga 29 Julai 2010. Antara rumah sukan yang bertanding adalah Rumah Perdana, Rumah Satria, Rumah Waja dan Rumah Wira.

Wednesday, May 12, 2010

PERUTUSAN HARI GURU 2010 OLEH Y.BHG. TAN SRI KPPM

PERUTUSAN HARI GURU 2010
oleh
Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasihi sekelian.

1. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, sekali lagi pada tarikh ini, 16 Mei 2010, kita dapat menyambut hari paling istimewa bagi para pendidik iaitu Hari Guru. Tanggal 16 Mei setiap tahun sejak 1972 disambut untuk kita semua memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion keguruan selain mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.

2. Tahun ini, sekali lagi tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan. Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik agar setiap kita dapat mengembangkan potensi dan bakat secara optimum. Sekolah perlu menjadi acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan pelapis generasi muda yang bergerak seiring aspirasi negara dengan mengetepikan perbezaan yang berdasarkan kepada bangsa dan agama. Oleh itu, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbir profesional kelas pertama.

3. Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. Para guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan. Guru harus bijak membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard serta mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri dalam usaha mencapai kecemerlangan tugas sebagai pendidik dan pembina negara bangsa.

4. Falsafah Pendidikan Guru menekankan kriteria seorang guru haruslah berperkerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Setiap guru juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka supaya generasi pelapis akan mampu mengorak langkah kearah kecemerlangan diri, bangsa dan negara.

5. Warga pendidik harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran pedagogi. Guru harus dan mesti boleh mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang beliau lakukan memperhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang, sehingga nilai-nilai murni dapat di tanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik. Saya penuh yakin dengan kewibawaan para guru di Malaysia dalam mempersiapkan diri anak didik agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus globalisasi.


Warga pendidik dan pelajar sekelian,

6. Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu. Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan yang dapat menyemai nilai-nilai ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi.

7. Bagi merealisasikan hasrat ini agen perubahan yang utama adalah guru dan institusi pendidikan.Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, berkemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan negara.

8. Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri menekankan kesejahteraan rakyat dan keberhasilan yang dapat dinikmati seperti yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia “Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bagi mencapai kesejahteraan, warga pendidik harus menghayati dan berkongsi bersama falsafah dan objektif ‘collegiality’ yang membawa maksud “the cooperative relationship with colleagues” (keserakanan). Kita harus faham bahawa prinsip keserakanan yang positif boleh mempercepatkan proses pencapaian kecemerlangan secara bersama. Prinsip keserakanan harus wujud dalam diri setiap pendidik supaya aspirasi negara dapat diterjemahkan dalam satu kefahaman bersama.


9. Saya dengan ini menyeru kepada semua warga pendidik supaya membulatkan tekad dan menguatkan azam untuk sama-sama bekerja bagi memartabatkan organisasi pendidikan kita. Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah dengan semangat keserakanan bagi memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Penerapan konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah dan karakter remaja adalah ketika di alam persekolahan. Sama-samalah kita berdoa agar apa yang direncana akan terlaksana mengikut rangka kerja dan perancangan.

10. Penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2010 meliputi semua agensi kerajaan. Sistem pengukuran prestasi menggunakan KPI di sekolah adalah penting dan perlu dilaksanakan. Tuntutan terhadap sekolah dalam kecemerlangan akademik, kokurikulum, disiplin yang baik, amalan-amalan pengurusan, kepimpinan, kompetensi guru yang tinggi dan lain-lain memerlukan sekolah menggunakan strategi serta amalan yang berasaskan prestasi. Penggunaan KPI dan sasaran prestasi boleh digunakan dalam setiap aspek pengurusan sekolah di mana prestasi boleh diukur dari segi proses yang disampaikan dan output yang dihasilkan di sekolah. Sasaran prestasi perlu mengambil kira perkara-perkara seperti keupayaan proses yang meliputi aliran kerja, keperluan sumber manusia, kewangan, peralatan, infrastruktur yang sesuai serta kepuasan dan kehendak pelanggan.

11. Saya yakin sistem pengukuran KPI sebagai kayu pengukur kepada kecemerlangan perkhidmatan pendidikan akan dapat meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan untuk rakyat Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan kualiti sistem pendidikan negara kekal dan bertaraf dunia.

12. Akhir kata, sempena dengan sambutan Hari Guru tahun ini, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia dan berharap tahun 2010 ini akan membawa kecemerlangan kepada institusi pendidikan negara dengan melahirkan modal insan yang harmonis dan seimbang yang akan menjadi tonggak kekuatan negara bangsa.

TERIMA KASIH CIKGU! …“SELAMAT HARI GURU”.

Sunday, May 2, 2010

Semakan Tawaran Kemasukan Ke Tingkatan Enam Bawah Tahun 2010

Semakan boleh dibuat mulai 3 Mei 2010.

Laman Web :

http://apps.emoe.gov.my/form6/semakan2010/index.cfm

Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi Bahagian Pengurusan Sekolah Harian,
Kementerian Pelajaran Malaysia di talian 03-8884 9370 atau Jabatan Pelajaran
Negeri masing-masing.

Tingkatan 6 Tahun 2010 akan bermula pada 10-5-2010 (Isnin).

Saturday, April 10, 2010

Mesyuarat Agung PIBG SMK Beaufort 2010

Tarikh : 10 April 2010 (Sabtu)
Masa : 8.00 Pagi
Tempat: Dewan Asrama, SMK Beaufort

Mesyuarat Agung PIBG SMK Beaufort 2010 di adakan bertujuan untuk pembubaran Ahli Jawatankuasa yang lama dan seterusnya melantik Ahli Jawatankuasa yang baru bagi sesi 2010 - 2012. Encik Jaafar Marlan (Wakil PPD Beaufort) telah merasmikan mesyuarat PIBG ini.

Berikut merupakan senarai AJK yang baru dilantik :


SENARAI JAWATANKUASA PIBG SMK BEAUFORT SESI 2010 – 2012

Penasihat : Pengetua SMK Beaufort

Encik Asliari Hj Tamit

Yang Dipertua: Encik Yunus Hj Abd Rajah

Timbalan Yang Dipertua: Encik Amsir Dani

Naib-naib Yang Dipertua: Encik Mohd Puting Musdin

Encik Abdul Jalil Abdullah Otto

Puan Suzilah Abdullah

Setiausaha : Encik Mohd Raffi Maksin

Pen. Setiausaha: Puan Maryiyati Ali

Bendahari : Cik Zuraidah Daud

Ahli Jawatankuasa:

1.Tuan Hj Nassar Abdullah

2.Encik Hussain Mohd Yusuf

3.Puan Norsiah Ahmed

4.Puan Siti Surinah

5.Encik Mansur Rahman

6.Puan Jamilah Bidin

7.Encik Abdul Main

8.Puan Salyateh Bulis

9.Puan Noorashikin Binti Yusop

10.Encik Adnan Salleh

11.Encik Yusnisham Bin Yusoff

12.Encik Vun Khiam Fui @ Richard

13.Ustaz Shaiful Amri Bin Musa

14.Encik Ag Sulaiman Awangku Marali

15.Encik Abdul Rasidi Bin Mohammed

16.Encik Faizal Kassim

Juru Audit:

01.Encik Awang Bin Dani

02.Encik Moktar B. Hj Jaafar



Wednesday, March 31, 2010

SISTEM PERTUKARAN GURU (e-Gtukar) 2010

Kepada Guru-guru yang ingin memohon pertukaran antara negeri, anda boleh membuat permohonan secara online bermula 1 April 2010 hingga 26 April 2010 untuk pertukaran Jun 2010. Sila lengkapkan pengisian borang secara online seawal yang boleh bagi memudahkan proses pengesahan oleh Pengetua /PK Pentadbiran / PK HEM / PK Ko-Kum / PK Petang.


Berikut merupakan link e-Gtukar : http://apps.emoe.gov.my/epgo/

Pertandingan Bola Tampar MSSD Beaufort 2010


SMK Beaufort menjadi tuan rumah pertandingan Bola Tampar MSSD Beaufort bagi tahun 2010. Perlawanan berkenaan diadakan di gelanggang Bola Tampar SMK Beaufort pada 31 Mac 2010 - 1 April 2010 (Rabu dan Khamis). Antara sekolah-sekolah yang mengambil bahagian adalah SMK Beaufort, SMK Beaufort II, SM St Paul, SMK Weston, SMK Gadong, SMK Membakut, SMK Membakut II dan SM Vokasional Beaufort. Perlawanan ini berdasarkan sistem liga.



Tuesday, March 9, 2010

Gambar Pasukan Bola Baling SMK Beaufort 2010








KEJOHANAN OLAHRAGA MSSD BEAUFORT 2010

Kejohanan Olahraga MSSD Beaufort 2010 telah di adakan pada 2 - 5 Mac 2010 bertempat do Padang SMK Membakut.

SMK Beaufort berjaya mendapat tempat Ketiga keseluruhan. Naib Johan telah dimenangi oleh SMK Gadong dan Johan adalah SMK Membakut selaku tuan rumah.

Di antara pencapaian SMK Beaufort dalam kejohanan ini.

1. Mencipta 6 Rekod Baru (800M PA, 100M PA, 4x100M LA & PA, 4x400M LA, 10000M Jalan Kaki LA)
2. Menduduki tempat Ketiga dengan 9 Emas, 10 Perak dan 7 Gangsa
3. Olahragawati Perempuan A (Adik Afiqah Kumaldin)
































PERTANDINGAN BOLA BALING MSSD BEAUFORT 2010

SMK Beaufort menjadi tuan rumah bagi pertandingan Bola Baling MSSD Beaufort 2010. Pertandingan ini diadakan pada 10 Mac 2010 (Rabu) dan bertempat di Padang, SMK Beaufort.

Oleh yang demikian, diharapkan pasukan bola baling kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan saingan kepada pasukan lawan.

Thursday, March 4, 2010

Keputusan SPM, STAM 11 Mac 2010

KUALA LUMPUR 4 Mac - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 akan diumumkan pada 11 Mac ini.

Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mat Dom berkata, calon-calon kedua-dua peperiksaan tersebut boleh mendapatkan keputusan berkenaan di sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi.

"Calon persendirian pula akan mendapat keputusan mereka melalui pos yang akan dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, analisis keputusan peperiksaan tersebut juga akan dibentangkan pada hari yang sama di Kementerian Pelajaran.

Sejumlah 465,853 calon mengambil SPM dan 6,920 lagi menduduki STAM tahun lalu.

Monday, March 1, 2010

KEPUTUSAN PILIHANRAYA SMK BEAUFORT 2010

Berikut adalah keputusan rasmi yang telah diumumkan:

Persatuan Pelajar Islam : Pengerusi - Mohd Abdul Fattah (234 Undi)
N.Pengerusi - Mohd Nuramin (220 Undi)

Kelab Rukun Negara : Pengerusi - Fadilah (251 Undi)
N.Pengerusi - Ismawandey (208 Undi)


Kelab Keselamatan Jalan Raya : Pengerusi - Aizuddin (162 Undi)
N.Pengerusi - Mohd Norsyafiq Rashide (159 Undi)

Tuesday, February 23, 2010

HARI MENGUNDI SMK BEAUFORT

Hari ini 24 Februari 2010 (Khamis). SMK Beaufort telah mengadakan Hari Pengundian bagi memilih Ahli Jawatankuasa Tertinggi bagi Kelab Pelajar Islam (PERPIS), Kelab Rukun Negara dan Kelab Pencegahan Jenayah untuk sesi 2010.

Proses pengundian diadakan di dua tempat iaitu di Pondok Seri Menanti dan Bilik Kaunseling. Semua murid SMK Beaufort adalah layak untuk memilih dan mengundi calon pilihan mereka.

Sebarang keputusan mengenai calon yang menang akan dimaklumkan kemudian.

Friday, February 19, 2010

Sambutan Maulidur Rasul 1431H / 2010


Pengertian Maulidur Rasul

Maulidur Rasul yang jatuh pada pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571 merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w (Sallallahu Alaihi Wasallam). Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.
Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Maulidur_Rasul

Acara Kemuncak Perarakan Sambutan Maulidur Rasul akan diadakan pada 1 Mac 2010 (Isnin) di perkarangan kawasan sekolah.

Keputusan STPM 2009 diumum Khamis, 25 Februari 2010

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 akan diumumkan pada 25 Februari ini.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai pukul 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon-calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip “STPM (jarak) nombor kad pengenalan” dan hantar ke 36363, atau menaip “STPM Result (jarak) nombor kad pengenalan” dan hantar ke 15888.

Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai pukul 12 tengah hari pada tarikh tersebut.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pukul 11.30 pagi pada tarikh yang sama di pejabat MPM, Persiaran 1, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Tahun lalu, 52,348 calon menduduki peperiksaan STPM.

Daripada jumlah itu, 47,260 orang atau 90.28 peratus adalah calon sekolah kerajaan, 1,747 (3.34 peratus) calon sekolah swasta dan 3,241 (6.38 peratus) calon persendirian. – Bernama

Saturday, February 13, 2010

SELAMAT TAHUN BARU CINA (GONG XI FA CAI)


Selamat Tahun Baru Cina (Gong Xi Fa Cai) diucapkan kepada warga SMK Beaufort yang merayakan perayaan ini pada 14 Februari 2010 hingga 15 Februari 2010.